Total Pageviews

Thursday 17 November 2022

TIPS PERGI HAJI AWAL

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

Dah lama daftar haji tapi tak panggil-panggil lagi. Ramai yang susah hati terhadap tahun giliran yang mereka dapat. Mana taknya, yang mendaftar dengan Tabung Haji sekarang gilirannya 100+ tahun lagi.

Sekarang ni dah ramai yang ada kesedaran mengenai daftar haji. Ramai ibu bapa yang mendaftarkan anak-anak mereka semasa kanak-kanak lagi, malahan ada juga seawal bayi. Inilah salah satu punca dan faktor yang menyebabkan giliran haji mencecah puluhan/ratusan tahun lagi.

Zaman dah berubah. Tahap pendidikan, teknologi dan pemikiran pun dah jauh ke depan. Kalau dulu di era 80/90an tak ramai yang mendaftar haji. Mungkin faktor ekonomi serta taraf hidup/pendidikan pada masa tu yang menyebabkan ramai yang tidak berkemampuan pergi haji dan mereka merasakan tiada keperluan untuk mendaftar haji awal. Bila tiba masa nak pergi haji, baru mereka mendaftar haji. Tahun ni mendaftar, tahun depan dah boleh pergi haji. Kalau bernasib baik tahun yang sama boleh dapat tawaran haji. Tapi tu dulu, sekarang tak lagi.

Sebenarnya, sekarang ada beberapa tips boleh pergi haji awal.

🕋PERTAMA, bagi yang telah mendaftar haji 5 tahun keatas boleh cuba cara ni. Caranya, ialah dengan membuat permohonan haji melalui travel agent iaitu syarikat pengelola haji swasta yang diiktiraf oleh Tabung Haji seperti Tabung Haji Travel, Andalusia, Rayhar dan banyak lagi. Cost haji sekitar RM40,000 hingga RM100,000 seorang. Caranya, pertama sekali, daftar nama dan buat permohonan haji dengan syarikat pengelola haji swasta yang menawarkan pakej mengikut bajet kita. Kemudian buat rayuan haji dengan Tabung Haji apabila tarikh rayuan dibuka. Dalam masa yang sama pihak pengelola haji tadi akan follow up dengan Tabung Haji. Tetapi pemilihan masih lagi bergantung pada sistem auto Tabung Haji. Jika diizinkan Allah, kita akan menjadi tetamunya pada tahun tersebut. Jika tidak terpilih, maka berlapang dadalah dengan ketentuan Allah. Kebiasaannya, tawaran haji melalui pakej ni akan keluar disaat-saat akhir 3-2 minggu lagi nak wukuf. Oleh itu,  para bakal haji yang memohon melalui pakej, perlu bersiap sedia dengan kelengkapan haji masing-masing supaya tidak kelam kabut apabila dapat tawaran disaat-saat akhir.

🕋KEDUA, jika nak cepat lagi, boleh cuba memohon haji melalui visa Furada/Mujamalah. Dimana, permohonan haji boleh dibuat terus melalui travel agent. Cost sekitar RM50,000 ke RM100,000++ seorang. Haji Furada/Mujamalah ni tak perlu buat rayuan dengan Tabung Haji dan tak perlu tunggu giliran. Segala urusan haji seperti urusan visa, penerbangan, penginapan, makan dan lain-lain adalah dibawah tanggung jawab agent. Untuk mendapatkan visa furada ni adalah hak mutlak Kerajaan Arab Saudi dan bukannya dalam kuota rasmi yang diberi pada setiap negara. Biasanya visa Furada ni dikeluarkan kepada para kenamaan negara dan VVIP yang dijemput oleh Kerajaan Arab Saudi. Walau bagaimana pun ianya juga dibuka kepada orang ramai dengan jumlah yang terhad. Atas faktor jumlah yang terhad ni, telah menyebabkan visa haji tidak dapat dikeluarkan oleh Kerajaan Arab Saudi disaat-saat akhir dan hampir setiap tahun ada bakal jemaah haji yang terkandas di airport. Begitu juga berhati-hati dalam memilih agent supaya kita tidak tertipu oleh pihak-pihak yang mencari keuntungan dengan jalan yang mudah. Perlu diingatkan semua urusan haji melalui visa Furada/ Mujamalah adalah diluar pemantauan Tabung Haji. Pastikan visa yang kita dapat dari travel agent adalah visa haji BUKANNYA visa pelancong.

Bagi yang mengerjakan haji dengan menggunakan visa pelancong, hati kena kental. Jika bernasib baik dapatlah menyusup masuk ke Arafah dan menyempurnakan manasik haji. Jika tidak, tiada lah haji. Sebab haji itu adalah wukuf di Arafah. Jika diperhatikan sepanjang perjalanan dari Mekah ke Arafah, akan ada askar atau polis yang menunggu di tepi-tepi jalan. Saya pernah perhatikan situasi begini ketika mengerjakan haji pada tahun 2022. Mereka akan tahan rombongan atau orang perseorangan yang berjalan kaki atau kenderaan yang mencurigakan. Malahan bas-bas yang membawa jemaah haji juga akan berhenti di setiap check point untuk pemeriksaan. Tujuannya agar tiada jemaah yang masuk ke Arafah tanpa permit haji.

Ok, berbalik kepada tips mengerjakan haji awal, dua cara diatas adalah bagi yang mampu dari segi kewangan. Tapi bagi yang tidak berkemampuan untuk pergi haji dengan pakej swasta, masih berpeluang lagi pergi haji awal melalui Tabung Haji. Caranya:

🕋 PERTAMA, buat rayuan haji setiap tahun. Sekarang dah mudah, boleh buat rayuan melalui applikasi Thijari. Tak perlu lagi menunggu lama di kaunter. InshaAllah, Allah maha melihat kesungguhan hamba-hambanya. Kumpul duit dan hadir ke kursus asas haji yang dianjurkan oleh Tabung Haji. Bila tiba masanya, InshaAllah kita akan dijemput oleh Allah sebagai tetamunya. Setiap tahun hampir separuh jemaah haji terpilih menolak tawaran. Jadi kekosongan tersebut akan diisi oleh para rayuan.

🕋KEDUA, ramai yang dah pergi haji awal asbab menjadi mahram kepada isteri atau adik beradik perempuan, isteri ikut suami dan menjadi pengiring kepada ibu bapa atau ahli keluarga yang uzur. Jadi, jika ada ahli keluarga kita dalam kategori diatas, peluang untuk pergi haji awal adalah tinggi. Kebiasaannya rayuan mahram kepada wanita 45 tahun kebawah akan diberi keutamaan. Kemudian diikuti rayuan suami menjadi mahram kepada isteri terpilih dan rayuan isteri ikut suami yang terpilih. Tiga kategori rayuan diatas biasanya akan mendapat keutamaan. Dan yang keempat pengiring kepada bakal haji yang kurang upaya atau lanjut usia juga akan diberi keutamaan. 

🕋🕋🕋🕋🕋🕋🕋🕋🕋🕋🕋🕋🕋🕋🕋🕋

Apa-apa pun banyakkan berdoa agar Allah menjemput kita dan semua umat Islam menjadi tetamunya. Minta pada Allah. Berlapang dadalah jika kita tidak ditawarkan haji pada tahun ini. Jangan kita pertikaikan dan bandingkan diri kita dengan orang yang terpilih. Allah menjemput untuk menjadi tetamunya tidak kira usia, kaya atau miskin. Bersangka baiklah dengan Allah. Tabung Haji adalah pengantara yang menguruskan haji kita tapi yang memilih untuk menjadi Tetamunya adalah Allah.

Oleh itu, mengadu dan mintalah pada Allah. Sentiasa doa yang baik-baik, cakap yang baik-baik, fikir yang baik-baik, InshaAllah kita akan dapat yang baik-baik.

Ingat, Haji tu bukan hanya untuk orang-orang tua. Ramai juga yang masih berfikiran "alah, muda lagi, nantilah esok dah tua sikit baru pergi haji". Tolong buang persepsi negatif macam ni. Menjadi kewajipan setiap orang Islam mencari dan berusaha menyempurnakan rukun Islam yang ke Lima. Cuba cari peluang dan usaha pergi haji diawal usia bagi yang mampu. Jangan jadikan kos haji yang tinggi dan giliran lambat sebagai alasan untuk tidak pergi haji. Walaupun giliran masih lambat lagi, tapi kita masih diberi peluang untuk buat rayuan. Jika rumah dan kereta beratus-ratus ribu kita boleh beli dan mampu bayar setiap bulan tapi kenapa tidak untuk haji yang cuma RM12K / RM19K / RM33K.

Usaha cari ilmu berkaitan ibadat haji. Cuba hadir ke kursus asas haji setiap tahun, seolah-olah kita akan menjadi tetamuNya tidak lama lagi. Usaha kumpul duit dan buat rayuan setiap tahun dengan lafaz:  

بِسْمِ اللَّهِ تَوَ كَّلْتُ عَلَي اللَّهِ وَلاَحَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ

"Bismillahi tawakkaltu a'lAllah, wala haula wala quwwata illa billah"

Dengan nama Allah, aku bertawakal kepada Allah, dan tiada daya dan kekuatan kecuali dengan Allah

Sekian, semoga bermanfaat kepada bakal-bakal Dhuyufurrahman semua.



 

No comments:

Post a Comment